Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

::TEPUK BAHU IMAM::

Sunday, May 22, 2022

SOALAN:

Assalamua'alaikum ust dr. Maaf mengganggu saya ada kekeliruan sikit tentang cara nak masuk jadi makmum kepada seseorang yang sedang solat. Bolehkah saya tepuk bahunya sebagai isyarat saya nak jadi makmum? Ada ustaz kata tak boleh, cukup hanya kuat suara masa bertakbir. Mohon dr jelaskan.

JAWAPAN:

1) Apabila seseorang ingin menjadi makmum kepada seseorang yang solat bersendirian dia digalakkan memberi isyarat ingin berjemaah kepada individu itu agar dia dapat berniat sebagai imam dan turut mendapat pahala berjemaah. 

2) Namun begitu, cara memberi isyarat tersebut tidak disebut dengan spesifik dan nyata di dalam kitab-kitab fiqh terdahulu(menurut pembacaan saya yang terhad). Ini bermakna caranya agak luas asalkan bersesuaian dengan adab dan hukum.

3) Konsep menepuk bahu seseorang sebagai tanda solat berjemaah ada disebut di dalam kitab fiqh Syafi'i moden, iaitu "al-Syams al-Munirah" karangan Syeikh Ali bin Hasan Ba-Harun yang mana beliau menukilkan kalam guru beliau al-Habib Zein bin Sumait(Ulama mazhab Syafi'i di Madinah):

قال الحبيب زين بن سميط ولذلك ينبغي لمن أراد الاقتداء بالمنفرد أن يشير إليه بنحو ضرب كتفه لينو ذلك المنفرد فيجوز فضيلة الجماعة.

Maksudnya: "al-Habib Zain bin Sumait berkata, 'Oleh yang demikian, seseorang yang mahu mengikut orang solat bersendirian hendaklah memberi isyarat (ingin berjemaah) kepadanya seperti menepuk bahunya agar orang yang solat bersendirian itu berniat (sebagai iman), maka boleh mendapat fadilat berjemaah'."

4) Berdasarkan kenyataan di atas, metod memberi isyarat ingin berjemaah itu luas caranya. Oleh yang demikian, boleh menggunakan apa cara asalkan dapat memaklumkan pada orang yang solat bersendirian dengan cara yang baik dan beradab.

5) Jelas seperti yang dinyatakan bahawa isyarat menepuk bahu adalah dibenarkan menurut keumuman hukum fiqh. Namun perlu diingat, cara menepuk bahu itu perlulah dengan cara yang sopan dan perlahan, iaitu bukan dengan tepukan yang kuat.

6) Selain itu, cara yang biasa digunakan selain dari tepuk bahu adalah meninggikan sedikit suara ketika bertakbiratul ihram juga cara yang dibenarkan asalkan dengan intonasi suarau yang sesuai dan tidak terlalu kuat. 

Wallahu A'lam

Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

No comments:

Post a Comment