Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

HUKUM MENYAMBUNG SOLAT WITIR

Wednesday, April 6, 2022

SOALAN

Assalamualaikum ust 

Nak tanya soalan sikit. Bolehkah seseorang solat witir lepas isyak, dia tak ganjilkan lagi solat itu seperti baru solat 2 rakaat, lepas bangun tidur dia sambung lagi witirnya dan ganjilkan lepas bangun tu. Adakah dikira 2 kali witir kalau buat macam ni.

JAWAPAN

1) Hukum membahagikan witir kepada dua waktu pada satu malam yang sama merupakan khilaf di sisi ulama mazhab syafi’ie. Pada asasnya witir hanya dibenarkan sekali pada satu-satu malam kerana ada larangan dari Rasulullullah ﷺ dari melaksanakan witir sebanyak dua kali pada satu malam, sepertimana hadis yang diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud: 

لا وتران في ليلة

Maksudnya: “Tidak ada dua witir pada satu malam.”

3) Para ulama mazhab Syafi’i bersepakat bahawa tidak diharuskan berniat melakukan dua witir pada satu malam bahkan haram melaksanakannya ke atas individu yang mengetahui larangan tersebut. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ramli di dalam “Nihayah al-Muhtaj”:

(فإن أوتر ثم تهجد أو عكس) أو لم يتهجد أصلا (لم يعده) أي لا تطلب إعادته، فإن أعاده بنية الوتر عامدا عالما حرم عليه ذلك، ولم ينعقد كما أفتى به الوالد - رحمه الله تعالى - لخبر «لا وتران في ليلة» وهو خبر بمعنى النهي.

Maksudnya: “Jika seseorang mengerjakan witir kemudian bertahajjud atau tidak bertahajjud sama sekali, maka dia tidak boleh mengulanginya, iaitu tidak dituntut untuk mengulanginya(solat witir). Jika dia mengulanginya dengan niat witir secara sengaja dan mengetahui(larangan mengulangi witir) maka haram dia melakukan begitu dan hukumnya tidak sah seperti mana yang difatwakan oleh ayahanda(Imam al-Ramli al-Kabir) -Rahimahullah Ta ‘ala- berdasarkan hadis yang menyatakan, ‘Tiada dua witir pada satu malam” dan ini adalah hadis yang memberi makna larangan”.

3) Kenyataan di atas merupakan larangan bagi mereka yang berniat untuk melakukan dua witir pada satu malam. Manakala hukum seseorang yang berniat untuk menyambung witir yang dikerjakan pada awal awal atau pertengahan malam, kemudian niat menyambung rakaat-rakaat yang berbaki pada akhir malam merupakan khilaf di kalangan ulama mazhab Syafi’ie, perkara ini dinyatakan di dalam kitab “Ithmid al-‘Ainain”:

أفتى ابن حجر بأن من صلى الوتر ثلاثا له أن يصلي باقية بنية الوتر خلافا للرملي

Maksudnya: “Ibn Hajar berfatwa bahawa sesiapa yang telah mengerjakan solat witir 3 rakaat, maka dia diharuskan mendirikan rakaat yang berbaki dengan niat witir, ini berlainan dengan pendapat al-Ramli".

4) Berdasarkan kenyataan di atas, hukum seseorang yang telah melakukan solat witir pada awal malam sama ada satu atau tiga rakaat, adakah boleh dia berniat untuk menyambung rakaat witir yang berbagi dengan rakaat yang genap? Maka di sini berlaku khilaf di antara dua ulama besar mazhab Syafi’i, yang mana Imam Ibn Hajar mengharuskan dan manakala Imam al-Ramli tidak mengharuskan kerana ia seolah-olah melakukan dua witir dalam satu malam. 

5) Dalam hal ini orang awam boleh memilih mana-mana di antara kedua-dua pendapat imam-imam besar dalam mazhab Syafi’ie. Sebagai makluman, guru-guru kami dari Hadramaut memilih pandangan Imam Ibn hajar dalam isu ini. Ini kerana pandangan Ibn Hajar bukan bermakna mendirikan witir sebanyak dua kali, namun ia menjurus kepada niat menyambung solat witir yang sama pada penghujung malam.

6) Walaubagaimana pun, terdapat satu lagi cara untuk melakukan witir pada akhir malam bagi sesiapa yang telah melakukan solat witir pada awal malam, seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar di dalam Tuhfah al-Muhtaj. Caranya mengerjakan 1 rakaat bagi tujuan menggenapkan solat witir yang dikerjakan pada awal waktu, setelah itu dilakukan witir dengan rakaat yang ganjil sebagai solatnya terakhir pada malam itu. 

7) Amalan ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat antaranya Saidina Uthman, Ali dan Ibn Umar radiyallahu ‘anhum sepertimana yang diriwayatkan di dalam musnad Imam Ahmad. Amalan ini juga dinyatakan oleh Imam Nawawi sebagai pandangan kedua(daif) di dalam mazhab Syafi’i di dalam karyanya “Minhaj al-Tolibin”:

وقيل: يشفعه بركعة، ثم يعيده.

Maksudnya: “Menurut pandangan yang lain: menggenapkan ia(solat witir) dengan satu rakaat, kemudian mengulanginya.”

8)) Kesimpulannya, haram berniat mendirikan dua solat witir pada satu malam bagi sesiapa yang mengetahui larangan tersebut. Ini adalah sepakat antara ulama-ulama mazhab Syafi’i. Manakala sesiapa yang tidak berniat untuk mengerjakan dua witir pada satu malam, namun hanya berniat untuk menyambung witirnya yang dilakukan pada awal malam ke penghujung malam, maka berlaku khilaf antara Imam Ibn Hajar dan Ramli. Ia tidak sah di sisi Imam Ramli tetapi rakaat yang bersambung kemudian menjadi sunat mutlak. Namun ia sah sebagai solat witir dan diharuskan oleh Imam Ibn Hajar.

Wallahu A'lam

Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

No comments:

Post a Comment