Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

SEJARAH TRAGEDI SAMBAS 1999

Thursday, January 13, 2022

Ketika pagi Syawal menjelma, selalunya kita akan bergembira dan saling bermaaf-maafan sambil menikmati juadah istimewa hari raya.

Namun, pernah berlaku satu tragedi berdarah dalam catatan sejarah yang terjadi di pagi Idulfitri. Ia dikenali sebagai ‘Tragedi Ketupat Berdarah Sambas’ yang berlaku pada tahun 1999 di antara Etnis Melayu Sambas dan Etnis Madura.

Peristiwa yang bermula dari satu perkelahian kecil ini akhirnya memicu ketegangan di antara kedua etnis yang memicu kepada pertumpahan darah di pagi hari raya.

Tragedi ini berlaku pada 19 Januari 1999 bersamaan dengan 1 Syawal 1419 Hijriah di Kampung Parit Setia di daerah Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia.

Penyebabnya dikatakan bermula beberapa hari sebelum Idulfitri. Ketika itu dalam bulan Ramadan, beberapa pemuda dari etnis Madura telah ditangkap ketika memecah masuk ke dalam rumah seorang Melayu Sambas untuk mencuri.

Berlaku tuduh menuduh antara pemuda Madura itu dan penduduk Melayu Sambas yang membantu menangkap pencuri itu. Ada yang hilang sabar sehingga terjadi "Keroyokan dan Babak Belur" ke atas pemuda-pemuda Madura itu sehingga cedera.

Bermula dari peristiwa itu, masyarakat Madura mula berasa marah dan tidak senang hati dengan masyarakat Melayu Sambas. Pada mereka, pemuda-pemuda Madura itu bukan hendak mencuri, tetapi lebih kepada tersalah masuk rumah karena mabuk selepas minum alkohol.

Namun, etnis Melayu Sambas tetap mengatakan pemuda etnis Madura itu mahu mencuri. Ada versi mengatakan pemuda Madura ini mengetuk pintu rumah orang Melayu Sambas dan berkata kasar. Ada juga yang mengatakan mereka ini tertangkap karena mencuri ayam.

Kisah pemuda Madura yang ditangkap mencuri ketika mabuk ini terus menjadi obrolan sehingga tersebar ke kampung-kampung berdekatan.

Tidak tahan etnis mereka terus diperkatakan dan isu itu diperbesarkan, etnis Madura yang menyimpan amarah akhirnya naik berang dan mengambil tindakan berani mati dengan mengamuk di kampung tersebut tepat pada 1 Syawal, ketika masyarakat Melayu Sambas sedang gembira menyambut Idulfitri.

Perkelahian antara etnis Madura dan Melayu Sambas di pagi raya menjadi tidak terkawal. Beberapa lelaki Madura telah mengeluarkan celurit, senjata peribadi mereka yang akhirnya meragut nyawa tiga pemuda Melayu Sambas.

Celurit adalah senjata tradisional yang digunakan etnis Madura.

Berita tentang kerusuhan itu telah tersebar ke kampung-kampung lain menyebabkan etnis Melayu Sambas tampil menuntut keadilan. Pada mereka, etnis Madura yang merupakan pendatang di tempat mereka harus dihajar.

Jika dilihat kembali sejarah lalu, pertelingkahan antara etnis Madura dan Melayu sambas pernah berlaku pada tahun 1933, ketika zaman Kerajaan Sukadana atau Ketapang masih teguh memerintah di bumi Kalimantan.

Ketika itu, seorang nakhoda telah membawa masuk 25 orang hamba yang terdiri dari etnis Madura ke Sambas, lalu dijual pada seorang saudagar Melayu Sambas untuk dijadikan buruh bagi meneroka hutan untuk dijadikan ladang.

Namun, kerja berat yang melampau dan tidak diberi upah seperti yang dijanjikan telah menyebabkan golongan Madura ini mencetuskan ketegangan menentang saudagar Melayu Sambas itu sehingga pihak istana Sukadana terpaksa ikut campur untuk mendamaikan keadaan.

Kerusuhan merebak dan berterusan setahun lamanya

Tragedi di pagi Syawal tahun 1999 itu tidak terhenti sekadar itu saja. Ia merebak ke kampung-kampung lain dan mencetuskan banyak  siri pasca kerusuhan selama setahun daripada Januari 1999 sehinggalah ke awal tahun 2000.

Masyarakat Melayu Sambas tampil untuk menuntut keadilan bagi nyawa pemuda mereka yang telah terkorban di tangan etnis Madura. Dikatakan etnis Dayak turut membantu etnis Melayu Sambas dalam kerusuhan ini. Maka tidak hairanlah jika ada berlaku perkara-perkara bersifat supernatural dalam pertempuran kedua-dua etnis ini karena melibatkan senjata dan magis daripada masyarakat Dayak.

Pasukan bersenjata turut campur tangan bagi meredakan keadaan. Dampaknya kerusuhan yang berlaku sehingga kawasan ini diistiharkan dengan perintah berkurung.

Tragedi itu memicukan siri pasca kerusuhan sehingga setahun lamanya.

Tragedi ketupat berdarah ini mengakibatkan banyak kerugian, juga banyak nyawa yang terkorban. Hampir empat ribu rumah terbakar dan rusak, 12 buah mobil dan sembilan sepeda motor terbakar, dan dua sekolah rusak. Sebanyak 1,189 nyawa terkorban dan ratusan lagi cedera.

Langkah pencegahan untuk mengawal kerusuhan juga tidak begitu berjaya menyebabkan kerusuhan berlaku sepanjang tahun. Pihak aparat telah menangkap lebih 200 orang, namun hanya 59 orang saja yang dibawa ke muka pengadilan.

Kemuncak kepada pengakhiran tragedi ini, semua etnis Madura di Sambas telah diusir keluar, tidak kira tua muda dan anak-anak, lelaki atau perempuan, bahkan yang tidak terlibat dalam kerusuhan itu sekalipun semuanya diusir keluar dari daerah tersebut.


Etnis Madura diusir keluar dari Sambas.

Sebanyak 29,423 penduduk etnis Madura di Sambas diusir keluar ke Kota Pontianak dan Kota Singkawang. Dikatakan sehingga ke hari ini, etnis Madura (tidak dibenarkan menjejakkan kaki atau menetap sebagai penduduk tetap) ke Sambas, tambahan pula dengan masyarakat Melayu Sambas yang masih trauma dengan peristiwa berdarah itu.

Hari ini, di Kampung Parit Setia ,Jawai di Sambas, ada sebuah tugu yang dinamakan sebagai ‘Tugu Ketupat Berdarah’. Tugu ini didirikan bagi mengenang tiga pemuda Melayu Sambas yang terkorban di pagi Syawal tahun 1999 ketika mempertahankan kampung mereka dalam kerusuhan tersebut.


Tugu ketupat berdarah yang dibina bagi memperingati tragedi di pagi Syawal .

Tugu itu berupa replika tiga tangan yang memegang ketupat berdarah, melambangkan tiga pemuda yang terbunuh akibat ditebas senjata Celurit pada pagi Syawal itu. Tiga pemuda Melayu Sambas yang terkorban itu bernama Wasli Bikran, Ayub Tahir dan Mahli Azis.

Tugu tersebut kekal hingga sekarang untuk tatapan generasi baru bagi memperingati sejarah tragedi kerusuhan antara etnis berdarah itu.

________

Sumber https://www.facebook.com/groups/944196589713691/permalink/1098506604282688/

No comments:

Post a Comment