Search This Blog

Artikel Pilihan

Jadual Waktu Sistem Badan Manusia!

Waktu Pagi 3:00 am – 5:00 am Paru-paru – Ini adalah waktu terbaik untuk bangun dari tidur. Ketika ini terdapat lebih banyak kandungan ozo...

Tauhid 3

Saturday, November 9, 2024


Jika ada yang bertanya; "Adakah terdapat pada zaman Salafus-Soleh pembahagian Tauhid kepada tiga bahagian; Tauhid Rububiyyah, Tauhid al-Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma' was-Sifat?"

Jawapan: Tidak ada. 

Bahkan Pembahagian Tauhid ini boleh dikatakan sebagai bid^ah kerana pembahagian ini tidak pernah diketahui oleh para Salafus-Soleh. 

Meskipun seseorang itu meletihkan dirinya sepanjang masa, dia tidak akan menjumpai pembahagian ini dalam ucapan para ulama seperti al-Imam al-Syafi^i dan selainnya dalam kalangan para ilmuan pada zaman Salafus-Soleh.

Hakikatnya pembahagian ini direka oleh Ibnu Taymiyyah(Fake Hanbali & Fake Salaf) yang meninggal pada tahun 728 H. 

Ibn Taymiyyah bukanlah Salaf sama ada dari sudut masa mahupun dari sudut keyakinannya kerana dia mempunyai percanggahan yang amat ketara dengan para Salafus-Soleh sama ada pada perkara-perkara usul dalam agama atau pada perkara-perkara furu’. 

Dia telah disesatkan oleh Ibn Hajar al-Haitami al-Faqih dalam kitabnya al-Fatawa serta ‘Ulama-‘ulama Ahli Sunnah yang lain.

1.Al-^Allamah al-Syaikh Yusuf al-Dijwi (w. 1948 R) yang merupakan ulama mazhab Maliki yang terkemuka di Mesir pada zamannya dan juga merupakan salah seorang anggota Pertubuhan Ulama terkemuka Azhar Mesir berkata,:

“Pendapat mereka (pengikut Ibn Taymiyyah) bahawa tauhid itu terbahagi kepada Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah adalah pembahagian yang tidak diketahui oleh sesiapapun sebelum Ibn Taymiyyah. 

Rasulullah tidak pernah mengatakan kepada sesiapapun yang baru memeluk agama Islam: “ Di sana ada dua jenis tauhid, sesungguhnya kamu tidak akan jadi muslim sehinggalah kamu bertauhid dengan Tauhid Uluhiyyah”. 

Nabi juga tidak pernah mengisyaratkan ada pembahagian ini walaupun dengan satu isyarat. Tidak pula didengari pembahagian tersebut daripada para Salafus-Soleh yang al-Wahhabiyyah beriya-iya sangat mahu mengikutinya dalam semua perkara sedangkan mereka pada hakikatnya berdusta.

Tambahan lagi, pembahagian tauhid ini juga tidak mendatangkan sebarang makna dan erti. Sesungguhnya (الإله الحق) ILAH yang sebenar Dia jugalah (الرب الحق) RAB YANG SEBENAR". Begitulah dijawab kepada mereka bahawa: “ ucapan dan pembahagian REKAAN kamu adalah hujah ke atas kamu sendiri”. Intaha.

Perkara yang sama dinukilkan juga oleh Abu Hamid Bin Marzuq ( Syaikh Muhammad ^Arabi Al Tubbani) dalam kitabnya Baraah al Asy^ariyyin Min ^Aqaid al Mukhalifin,Percetakan al ^Ilm- Dimasq,jilid 1,hlm 166-167.

2.Ibn Khalawaih (w. 370 H) dalam kitabnya Fi I^rabil-Quran yang merupakan antara ulama terkemuka dalam bahasa Arab dan nahu, katanya:

إن لفظ "ربّ" مجرور إما على أنه نعت لله أو بدل من لفظ لله.

Maksudnya:

“Sesungguhnya lafaz (رب) adalah majrur sama ada ia adalah (نعت) iaitu sifat bagi kalimah Allah atau (بدل).

 Maka dalam dua situasi tersebut Dia adalah Allah yang berhak baginya ULUHIYYAH DAN RUBUBIYYAH. Maka Allah Dia adalah RAB sekalian alam dan RAB sekalian alam adalah Allah. Ayat ini sahaja adalah cukup untuk menolak golongan al-Musyabbihah (termasuk al-Wahhabiyyah) yang menyangkakan ada perbezaan antara Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah”.

3. Al-Hafiz Ibn Hajar al-^Asqalani dalam menghuraikan Kitab Tauhid dalam Sohih al-Bukhari jilid 20,hlm 437, beliau mengatakan :

وأما أهل السنة ففسروا التوحيد بنفي التشبيه والتعطيل، ومن ثم قال (إمام الصوفية) الجنيد فيما حكاه أبو القاسم القشيري: "التوحيد إفراد القديم من المحدث".

Maksudnya:

“Ahlus-Sunnah wal- Jama^ah mentafsirkan tauhid dengan erti penafian daripada tasybih (penyerupaan Allah dengan makhlukNya) dan ta^thil (penafian terhadap zat dan sifat Allah ta^ala). 

Justeru, (imam bagi golongan sufi) al-Junaid sebagaimana diriwayatkan oleh Abul-Qasim al-Qusyairi mengatakan :  “Tauhid adalah menunggalkan yang qadim (Allah) daripada yang yang baharu (makhluk)”.

Tauhid Uluhiyyah termasuk dalam keumuman Tauhid Rububiyyah berdasarkan dalil Allah taala mengambil perjanjian dengan zuriat Adam alaihis-salam. 

Allah ta^ala berfirman kepada mereka (malaikat yang menyampaikan daripada Allah ta^ala bahawa Allah ta^ala berfirman kepada zuriat Adam): (ألستُ بربكم) “ Bukankah aku Tuhan kamu sekalian? 

Allah ta^ala tidak berfirman : (ألستُ بإلهكم).  

Dan menjadi suatu perkara yang maklum, sesiapa yang mengakui bahawa bagi Allah ta^ala (الربوبية) maka dia juga menyakini bagi Allah ta^ala (الألوهية).

Lagi…

Dalam menangkis dakwaan adanya pembahagian tauhid ini, didatangkan hadith pertanyaan kubur yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ahmad:

“وَيَأْتِيهِ (أي المؤمن) مَلَكَانِ فَيُجْلِسَانِهِ فَيَقُولاَنِ لَهُ: مَنْ رَبُّكَ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللَّهُ”

Mafhumnya: “Seseorang (yang beriman) itu akan didatangi oleh dua malaikat lalu kedua-duanya mendudukkan si mati. Kedua-dua malaikat tersebut bertanya kepada si mati: Siapakah Tuhanmu? Jawabnya: "Tuhanku adalah Allah”.

Sekiranya  Tauhid Rububiyyah itu adalah suatu yang berbeza dengan Tauhid Uluhiyyah sudah tentu pertanyaan malaikat itu tidak kena pada tempatnya atau jawapan yang diberikan oleh orang yang beriman itu kepada kedua malaikat tersebut tidak kena pada tempatnya. Kedua-dua perkara ini pasti bathil.

Semoga bermanfaat dan beritahu info penting ini kepada orang lain.

Credit >

No comments:

Post a Comment