Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

HUKUM BERTAWASSUL (TERMASUK ISTIGHATHAH) DAN JENIS-JENISNYA

Thursday, May 27, 2021

Perbincangan mengenai hukum bertawassul termasuk definisi sebenarnya telah lama selesai namun sering dibangkit akhir-akhir ini oleh sesetengah pihak yang mengangapnya syirik, sesat dan membawa kekufuran. Hal ini berpunca daripada persepsi dan pendefinisian tawassul golongan ini yang berbeza daripada definisi jumhur fuqaha mazhab empat. Sememangnya benar bahawa persepsi terhadap sesuatu subjek adalah pra-info kepada sesuatu penghukuman. Selagi mana persepsi terhadap subjek perdebatan berbeza maka selama itu konflik akan berpanjangan.


Saya terpaksa menyentuh hal ini kerana terbaca pandangan mereka yang sangat skeptikal pada amalan tawassul seraya mengaitkannya dengan isu akidah yang berpenghujung kepada syirik atau tidak. Justeru saya bawakan keputusan hukum oleh Darul Ifta' Jordan yang bagi saya sangat sederhana dalam menjelaskan hukum amalan tersebut. Anda boleh bacakannya dalam teks asal berbahasa Arab.


Namun saya rumuskan di sini beberapa perkara asas tentang tawassul :


1. Amalan bertawassul dengan EMPAT jenisnya adalah dibenarkan malah dianjurkan (mustahabb).


2. Keharusan tersebut berdasarkan pandangan rajih dalam EMPAT mazhab fiqh muktabar.


3. Bertawassul pada hakikatnya adalah doa kepada Allah dengan syafaat Nabi Muhammad SAW, para al-Solihin termasuk kebaikan amalan sendiri. Ia bukannya memohon bantuan kepada subjek tawassul seperti meminta kepada berhala.


4. Konteks perbincangan tawassul adalah furu' fiqhiyyah, BUKANNYA perkara akidah. Kerana tiada umat Islam yang bertawassul beriktikad bahawa mereka meminta kepada makhluk seperti orang kafir menyembah berhala.


5. Bertawassul dengan kewarakan orang salih yang telah mati juga diharuskan.


6.  Salah meletakkan isu ini dalam perkara akidah yang menghukumkan pandangan mengharuskan tawassul sebagai syirik kerana ia adalah khilaf fiqh yang MUKTABAR dan hampir mencapai persepakatan dalam kalangan fuqaha kecuali segelintir (yang mempersepsikan tawassul seperti memohon kepada berhala).


Kepada yang pandai berbahasa Arab, saya akan kongsikan teks asal untuk mengetahui dalil-dalil yang dikemukakan. Kepada pembaca yang tidak faham, Insya Allah rumusannya adalah seperti di atas.


Insya Allah, Jabatan Mufti tempat saya menjadi khadamnya akan mengeluarkan Irsyadul Hukmi atau fatwa rasmi mengenai hukum tawassul.


Nasihat awal kepada pihak-pihak yang suka mengaitkan tawassul yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam dengan syirik dan sesat, saya ingin menasihatkan anda supaya berhati-hati dengan panyampaiannya anda. Pandangan yang mensyirikkan tawassul adalah pandangan minoriti ulama Salafiyyah-Wahhabiyyah terutama di Arab Saudi. Tidak menjadi masalah, jika anda ingin bertaqlid kepada ulama aliran tersebut. Namun, pandangan majoriti fuqaha adalah berbeza daripada aliran minoriti yang anda imani.


Sudah lama saya memerhatikan gelagat mereka ini dengan penuh kesabaran.


Dr HK

26/5/2021


https://drive.google.com/file/d/1VaHgHm2ND_vEiq1SW0xBA1IZkVsiVWfS/view?usp=sharing

No comments:

Post a Comment