Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

BAGAIMANA SEJARAH TERHAPUSNYA KESULTANAN DI INDONESIA

Thursday, March 4, 2021

©️Tragedi 3 Mac 1946. Detik Hitam Sejarah Melayu


Definisi Melayu di Indonesia adalah berbeza dengan definisi Melayu di negara kita, Malaysia. Di Indonesia, kelompok Melayu dibahagikan kepada dua, iaitu Melayu pesisir (Coastal Malays) yang mendidiami sepanjang pantai barat Sumatera, serta Melayu Kalimantan (Borneo Malays), yang bertaburan di seluruh Pulau Borneo. Lain-lain rumpun Melayu tidak dianggap sebagai ’Melayu’, melainkan dikenali dengan nama etnik masing-masing. Ini termasuklah Acheh, Minang, Jawa, Mandailing, dan sebagainya.


Salah satu wilayah yang diakui sebagai wilayah bagi etnik Melayu dan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanah semenanjung ialah Sumatera Timur. Di wilayah ini, terdapat empat buah Kerajaan Melayu utama yang pernah wujud, iaitu Kesultanan Langkat Darul Aman, Kesultanan Deli Darul Maimon, Kesultanan Serdang Darul Arif, dan Kesultanan Asahan. Selepas perang dunia ke-2, Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur ini muncul sebagai wilayah yang kaya dan makmur hasil daripada perkembangan sektor perladangan. 


Perkara ini dapat dilihat daripada binaan istana-istana Sultan yang sebahagiannya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini. Kemakmuran wilayah ini turut menarik kehadiran pendatang-pendatang dari tanah Jawa untuk menginap di wilayah ini bagi bekerja di ladang-ladang. Kehidupan para pendatang dari Jawa di Sumatera Timur ini berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tidak terurus. 


Pendatang Jawa tidak mahu mengaku mereka adalah rakyat kepada Raja-raja Melayu di wilayah yang mereka duduki.Sementara Raja-raja Melayu di Sumatera Timur pula enggan menganggap para pendatang Jawa ini sebagai ’Melayu’ kerana amalan agama Islam mereka yang berbeza dengan amalan penduduk Islam tempatan.


Raja-raja Melayu menganggap pengisytiharan kemerdekaan Indonesia tidak akan menguntungkan kerajaan masing-masing, kerana ia didominasi oleh kaum Jawa yang berpusat di Pulau Jawa sendiri dan menyokong pemerintahan bercorak Republik. 


Kerana tersepit antara kebangkitan semangat nasionalisme Indonesia dengan kewajipan untuk mempertahankan Kerajaan dan takhta masing-masing, Raja-raja telah melakukan kesilapan (mungkin kerana terpaksa, tiada pilihan) dengan menghantar surat menyatakan kesetiaan kepada Ratu Belanda.Detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur. 


Pada 3 Mac 1946, beribu-ribu pendatang Jawa Militan di bawah pimpinan PESINDO, Parti Komunis Indonesia (PKI), dan Parti Kebangsaan Indonesia (PNI) menyerang hampir semua bangsawan Melayu.Keganasan dan pertumpahan darah terlibat, di mana tujuh putera, sembilan puluh bangsawan (di Langkat) dan banyak pejabat dari negara-negara asli terbunuh. 


Pembunuhan terhadap kerabat-kerabat raja dilakukan secara besar-besaran dengan ada yang dibenamkan di laut, dipotong kepala mereka, ditanam hidup-hidup dan berbagai pembunuhan sadis yang lain, Anak-anak perempuan Sultan Langkat diperkosa.Isteri-isteri dan anak-anak keluarga bangsawan telah diasingkan dan rumah mereka digeledah dan tanah mereka di rampas.


Terdapat tiga matlamat utama yang berkaitan dengan revolusi yang melibatkan kumpulan orang yang berlainan: 


1) Untuk menjatuhkan Bangsawan Melayu dan penyokong utama mereka iaitu Belanda


2) Dapat menguasai kekayaan 'kerajaan' (kekaisaran Melayu) untuk mempertahankan perbelanjaan perjuangan nasional


3) Untuk melakukan perubahan politik dan kemasyarakatan sesuai dengan intelektual Marxis yang terlibat dalam agenda tersebut


Menjelang tahun 1942, Belanda, yang bertanggungjawab kepada kerajaan Hindia Belanda di Batavia, memegang kuasa majoriti di rantau ini. 


Di bawah pemerintahan Belanda, kerajaan telah diserap ke dalam struktur politik terpusat dan golongan elit pribumi ini termasuk dalam pentadbiran (yang mereka kongsi dengan Belanda) di rantau ini.


Oleh kerana berkongsi kuasa dengan Bangsawan Belanda itu, seolah-olah Bangsawan Melayulah yang menggunakan kuasa politik mereka untuk melancarkan dasar-dasar yang menindas hak orang awam. 


Sedangkan hakikatnya Bangsawan Belanda lah yang menguasai keseluruhan pentadbiran. 


Mereka nampak Bangsawan Melayu tidak mempertahankan mereka. Malah seolah-olah bersekongkol dengan Bangsawan Belanda.


Suara-suara yang tidak bersetuju dengan penindasan Belanda dan bangsawan Melayu kemudiannya terbentuk di kalangan pendatang.


Secara diam-diam, pihak komunis mempersiapkan rancangan untuk menghapuskan monarki kerajaan Melayu dan ingin mengambil alih pemerintahan kerajaan. 


Mereka kemudian membuat propaganda di akhbar, radio dan risalah serta isu-isu fitnah palsu untuk menghasut rakyat dengan laungan ‘Daulat Rakyat’ bagi melawan laungan ‘Daulat Tuanku’.


Tragedi buat Sultan Bidar Alam Syah IV di negeri Bilah, Sultan Mahmud Aman Gagar Alam Syah di negeri Panai dan Tengku Mustafa gelar Yang Dipertuan Besar Makmur Perkasa Alam Syah di negeri Kota Pinang, kesultanan Serdang Asahan di Tanjung Balai, Kesultanan Deli di Medan, kerajaan Melayu Yang Dipertuan Tengku Al Haji Muhammad Syah di Labuhan Batu. 


Kesemua sultan ini mangkat dibunuh oleh rakyat pendatang yang bekerja di ladang-ladang Sultan yang menyokong komunis.


Antara yang terkorban termasuklah Tengku Amir Hamzah, pujangga Melayu yang terkenal.


Para nasionalis Indonesia cuba menyelindungkan perkara ini dengan mengatakan berlaku ’Revolusi Sosial’ rakyat bangun menentang pemerintahan monarki. 


Sedangkan realitinya, yang bangkit menyerang adalah Komunis dan dibantu oleh para pendatang dari Jawa yang terdiri daripada para penyamun, perompak, perogol dan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku.


Selepas kejadian tersebut, kebanyakan rakyat tempatan seboleh mungkin menyembunyikan identiti ’Melayu’ mereka bagi mengelakkan diserang oleh para ’Nasionalis Indonesia’. 


Malahan, sebahagian kaum Batak Karo dan Simalungun yang telah memeluk Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu, kembali memakai nama asal Batak mereka dan mengelakkan dilihat sebagai Melayu. 


Satu persekutuan yang meliputi wilayah Kerajaan-kerajaan Melayu kemudian ditubuh, dengan nama Negara Sumatera Timur, dengan harapan untuk menyertai Republik Indonesia Serikat sebagai salah sebuah negeri di dalamnya. 


Namun, Negara Sumatera Timur ini mengelak daripada melibatkan Raja-raja Melayu yang seolah-olah telah menjadi satu taboo yang memalukan pada masa tersebut.


Akhirnya? Jangka hayat Negara Sumatera Timur ini juga tidak lama dan kemudian dibubarkan. Republik Indonesia Serikat juga akhirnya dibubarkan dan digantikan sepenuhnya dengan Republik Indonesia yang bercorak negara kesatuan yang berpusat di pulau Jawa.


Bagi melemahkan pengaruh Raja-raja Melayu dan kekusaan etnik Melayu (yang dibimbangi lebih cenderung untuk bergabung dengan Malaysia), wilayah Sumatera Timur ini kemudiannya digabungkan dengan wilayah Tapanuli yang didiami majoriti suku kaum Batak untuk menjadi Propinsi Sumatera Utara.


Kini, etnik Melayu hanya menjadi kaum minoriti yang tidak berkuasa di negerinya sendiri di dalam Propinsi Sumatera Utara. Para waris Raja-raja Melayu pada hari ini cuba menghidupkan kembali warisan dan takhta Kerajaan mereka yang hilang, namun hanya atas dasar melestarikan kebudayaan tempatan semata-mata, iaitu bagi mengelakkan salah faham daripada Pemerintah Indonesia.


Arifin Omar (1999) ”Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu : Runtuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur Pada Tahun 1946” Penerbit Universiti Sains Malaysia.


Prof. Anthony Milner (2008) ”The Malays” Blackwell

Negeri-negeri Melayu di Tengah dan Selatan Sumatera


📝 Serai Padang


#CPK

No comments:

Post a Comment