Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

Pembukuan Al-Quran

Saturday, August 20, 2011

Berikut adalah sejarah ringkas tentang pembukuan Al-Quran.

Tulisan Arab

Nabi Muhammad s.a.w. telah diutuskan kepada satu umat yang kebanyakannya buta huruf (tidak boleh membaca dan menulis), tidak boleh mengira bahkan hampir tidak boleh mengenal sesuatu bentuk tulisan. Antara yang boleh menulis sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Abu Sufyan bin Harb, Mu'awiyah bin Abi Sufian, Abban bin Said dan al-'Ala' bin al-Hadrami. Semuanya dari kalangan penduduk Mekah al-Mukarramah manakala dari kalangan penduduk Madinah pula ialah Amru bin Said, Ubai bin Ka' ab, Zaid bin Thabit dan al-Munzir bin Amru.

Setelah Rasululah s.a.w. berhijrah ke Madinah, Baginda telah menggalakkan penulisan dan mendorong agar umat Islam belajar menulis sehingga mensyaratkan setiap orang tawanan Perang Badar dari kalangan orang Quraisy Mekah yang ingin dibebaskan hendaklah terlebih dahulu mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam di Madinah. Melalui usaha ini, Baginda mengharapkan berlakunya pertambahan jumlah penulis di kalangan masyarakat Islam. Akhimya Rasulullah s.a.w. mempunyai lebih daripada 40 orang penulis (kebanyakannya penulis wahyu) sebelum al-Quran sempurna diturunkan kepada Baginda.

Tulisan dan Penulisan Al-Quran

Menurut Bahasa Arab, perkataan khat ( خط ) bererti garis memanjang pada sesuatu perkara dan juga cara yang paling mudah untuk menulis, dengan menggunakan peralatan seperti pen, qalam dan sebagainya.

Terdapat perbezaan di antara khat atau tulisan dan rasm. Khat adalah berhubung dengan pembentukan huruf manakala rasm adalah mengenai pembentukan perkataan menerusi huruf-huruf Hijaiyyah.

Khat yang dipelajari oleh Harb bin Umayyah dan mengajarkannya kepada orang-orang Quraisy ialah khat al-Anbari al-Hairi. Apabila khat ini diperkenalkan ke Hijaz, ia dinamakan dengan khat al-Hijazi.

Bentuk khat inilah yang telah digunakan oleh para penulis surat, syair dan lain-lainnya. Sehinggalah kedatangan Islam, bentuk khat tersebut telah digunakan dalam penulisan wahyu hinggalah ia digunakan pada Suhuf Abu Bakar al-Siddiq dan digunakan juga pada penulisan Mushaf Uthmaniah. Apabila Islam telah tersebar di serata pelusuk dunia, maka terdapat sekumpulan dari penulis-penulis Kufah yang telah mengelok dan mencantikkan lagi khat al-Hijazi. Setelah berlaku proses tersebut, khat al-Hijazi itu dinamakan dengan khat al-Kufi.

Penulisan dan Pengumpulan Al-Quran pada Zaman Rasulullah s.a.w

Menurut Ahli Sejarah, penulisan al-Quran bermula dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. di mana sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. menerima wahyu, Baginda mengarahkan penulis-penulis wahyu mencatatkan ayat-ayat al-Quran yang diterimanya.

Antara penulis wahyu Baginda Rasulullah s.a.w. ialah Khulafa' al-Rasyidin yang empat iaitu Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq, Saiyidina Umar bin al-Khattab, Saiyidina Uthman bin Affan dan Saiyidina Ali bin Abi Talib r.a. serta sahabat Baginda yang lain seperti Saiyidina Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka'ab, Thabit bin Qais r.a. dan lain-lain.

Oleh kerana pada masa itu ketiadaan kertas, maka para penulis wahyu telah mencatatkan ayat-ayat al-Quran tersebut pada pelepah-pelepah tamar, kepingan batu, tulang dan lain-lain bahan tulisan. Catatan tersebut disalin semula oleh sebahagian sahabat walaupun kebanyakan mereka lebih mengutamakan hafazan.

Penulisan Al-Quran pada Zaman Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a.

Selepas Rasulullah s.a.w. wafat, para sahabat telah melantik Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. menjadi khalifah yang pertama. Pada zamannya telah berlaku beberapa peperangan antaranya ialah peperangan al-Yamamah yang berlaku pada tahun 11 Hijrah. Dalam peperangan tersebut ramai tentera Islam yang menghafaz al-Quran telah gugur syahid. Sejarah mencatatkan sehingga 700 orang yang menghafaz al-Quran telah gugur syahid dalam peperangan tersebut."

Peristiwa berkenaan telah mendorong Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. beberapa kali mencadangkan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. supaya diadakan usaha pengumpulan al-Quran kerana dibimbangi al-Quran akan terhapus dengan sebab ramai Qurra' yang gugur syahid.

Akhirnya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq r.a. bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan Saiyidina Zaid bin Thabit r.a. menyalin al-Quran yang telah ditulis dan dihafaz pada zaman Rasulullah s.a.w. dengan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang lain. Melalui usaha tersebut maka terkumpullah al-Quran yang pertama dalam bentuk lembaran suhuf.

Setelah Saiyidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. wafat, suhuf tersebut telah disimpan di rumah Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. dan apabila Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. wafat, lembaran suhuf itu telah disimpan pula oleh Ummul Mukminin Saiyidatina Hafsah binti Umar al-Khattab r.a.

Penulisan Al-Quran pada Zaman Saiyidina Uthman bin Affan r.a.

Pada masa pemerintahan Khalifah Saiyidina Uthman bin Affan r.a. Islam telah berkembang dengan luas meliputi Semenanjung Tanah Arab dan lain-lain wilayah termasuk Armenia, Arzabeijan dan Khurasan. Umat Islam di wilayah-wilayah tersebut telah mempelajari dan membaca al-Quran menurut kaedah-kaedah bacaan Rasulullah s.a.w. melalui riwayat bacaan para sahabat yang masyhur antaranya:

  1. Penduduk Mekah dan Madinah mengambil kaedah bacaan dari Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit dan Saiyidina Umar bin al- Khattab r.a.

  2. Penduduk Syam mengambil kaedah bacaan daripada Saiyidina Uthman bin Affan dan Abu Darda' r.a.

  3. Penduduk Basrah mengambil kaedah bacaan dari Saiyidina Umar bin al-Khattab, Ubai bin Ka'ab, Zaid bin Thabit, Saiyidina Uthman bin Affan, Saiyidina Ali bin Abi Talib dan Abu Musa al-Asha' ari r.a.

  4. Penduduk Kufah mengambil kaedah bacaan daripada Abdullah bin Mas'ud, Saiyidina Ali bin Abi Talib, Saiyidina Uthman bin Affan, Ubai bin Ka'ab dan Zaid bin Thabit r.a.


Pada tahun 25 Hijrah, satu perbalahan yang hebat telah berlaku di kalangan muslimin mengenai perbezaan kaedah bacaan dan seterusnya perselisihan dari segi riwayat pembacaan al-Quran.

Keadaan yang tidak begitu sihat ini telah disampaikan oleh seorang sahabat yang bemama Huzaifah bin al- Yaman kepada Khalifah Saiyidina Uthman bin Affan. Huzaifah telah mencadangkan supaya Khalifah Saiyidina Uthman r.a. mencari jalan untuk menyatukan kaum muslimin dengan cara menyelaraskan mushaf agar tidak berlaku lagi perbalahan dan perselisihan tersebut. Khalifah Uthman bin Affan r.a. telah membentuk satu Jawatankuasa Penulisan Al-Quran yang diketuai oleh Zaid bin Thabit r.a. dan dibantu oleh beberapa orang anggota yang lain yang terdiri dari Abdullah bin Zubair, Said bin al-' As dan Abdul Rahman bin Harith bin Hisyam r.a.

Lembaran-lembaran suhuf al-Quran yang diambil dari simpanan Saiyidatina Hafsah binti Umar r.a. untuk dijadikan mushaf. Ketika ahli-ahli Jawatankuasa ini menjalankan tugas, Saiyidina Uthman bin Affan memberi nasihat dan meletakkan panduan bahawa asas rujukan di dalam penulisan al-Quran ini hendaklah berdasarkan bacaan para Qurra'. Jika terdapat perbezaan pada bacaan mereka, maka hendaklah ditulis mengikut bahasa orang-orang Quraisy kerana al-Quran itu diturunkan menurut bahasa Quraisy.

Menurut pendapat yang muktamad, Jawatankuasa tersebut telah menyusun dan menyalin sebanyak enam mushaf al-Quran. Sebuah mushaf untuk kegunaan Saiyidina Uthman bin Affan r.a. sendiri yang dinamakan "Mushaf al-Imam" dan mushaf yang lain dikirimkan ke Mekah, Syam, Basrah, Kufah dan Madinah.

Mushaf tersebut bukan sahaja dijadikan rujukan tunggal bagi penduduk di wilayah-wilayah berkenaan, bahkan dihantar bersama-samanya seorang imam (qari) yang adil dan mutqin" di dalam bacaan al-Quran untuk mengajar penduduk berkenaan. Mereka terdiri daripada:

  1. Abdullah bin al-Saaib r.a. ke Mekah.

  2. AI-Mughirah bin Abi Syahab r.a. ke Syam.

  3. Abdul Rahman Abdullah bin Habib al-Sulami r.a. ke Kufah.

  4. Amru bin Qais r.a. ke Basrah.

  5. Zaid bin Thabit r.a. di Madinah.


Selepas itu, Saiyidina Uthman bin Affan r.a. memerintahkan supaya semua lembaran al-Quran yang ditulis sebelum ini dikumpulkan untuk dibakar atau dilupuskan. Walau bagaimanapun, perbezaan bacaan ( وججه القراءات ) yang ada hingga sekarang ini tidaklah berlawanan dengan apa yang terdapat di dalam mushaf yang ditulis pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a. kerana bacaan itu telah diterima dari Baginda Rasulullah s.a.w. secara mutawatir.

Usaha-usaha pengumpulan al-Quran yang dilakukan pada zaman Khalifah Uthman bin Affan telah mendatangkan faedah yang besar kepada umat Islam terutamanya dari segi:

  1. Dapat menyelamatkan umat Islam dari perpecahan.

  2. Dapat menyelesaikan perselisihan kaum muslimin tentang penulisan al-Quran.

  3. Dapat menyatukan bentuk mushaf yang seragam melalui ejaan dan tulisan.

  4. Dapat menyatukan wajah-wajah qiraat melalui satu mushaf.

  5. Dapat menyelaraskan susunan surah-surah menurut tertib seperti yang ada sekarang ini.


Kelebihan Rasm Uthmani

Al-Quran Rasm Uthmani mempunyai banyak kelebihan, antaranya:

  1. Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

  2. Mengikut tulisan al-Quran yang asal.

  3. Boleh memahami makna yang berlainan dan tidak pula terkeluar daripada maksud yang sebenar.

  4. Memudahkan bacaan dengan wajah qiraat (jenis-jenis bacaan).

  5. Sebagai hujah kepada bahasa al-Quran yang fasih.

  6. Dipersetujui oleh lebih 12,000 orang sahabat.

  7. Salah satu dari mukjizat al-Quran.

  8. Bertepatan dengan riwayat bacaan mutawatir.

  9. Salah satu dari rukun bacaan al-Quran al-Karim.

  10. Berdasarkan kepada dalil-dalil yang kuat dan hujah-hujah yang jelas.

  11. Ditulis mengikut bacaan Rawi (riwayat).

  12. Mengandungi rahsia dari segi mengekal dan menggugurkan huruf.


Tahap Penulisan Al-Quran

Penulisan al-Quran Rasm Uthmani seperti yang terdapat sekarang ini melalui tahap-tahap berikut:

  • Tahap Pertama: Belum diletakkan sebarang tanda.

  • Tahap Kedua: Ditandakan titik ( نقطة العراب ) yang dipelopori oleh/Abu al-Aswad al-Duali (meninggal dunia pada tahun 69 Hijrah pada zaman Khalifah Marwan bin al-Hakam).

  • Tahap Ketiga: Mula ditandakan dengan titik ( نقطة العجام ) yang dipelopori oleh Yahya bin Ya'mar dan Nasyr bin 'Asim al-Laisy dengan perintah Gabenor Iraq iaitu al-Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi,

  • Tahap Keempat: Mula diletakkan dengan tanda-tanda baris (harakah) yang dipelopori oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi pada zaman pemerintahan Abbasiyah iaitu Khalifah Abdul Malik bin Marwan.

  • Tahap Kelima: Ditambah dengan tanda-tanda waqaf dan lain-lain tanda lagi.


Tulisan al-Quran dengan menggunakan Khat Nasakh mula dicetak buat pertama kalinya di Hamburg, Jerman pada tahun 1694 Masihi (1113 Hijrah) dan seterusnya dicetak di negara-negara Islam yang lain sehingga ke hari ini.

Cara Bacaan Al-Quran yang Diamalkan Masa Kini

Terdapat beberapa cara bacaan yang diamalkan pada masa kini iaitu:

  1. Bacaan mengikut riwayat Hafs dari Imam 'Asim adalah paling banyak diamalkan di negara-negaraIslam.

  2. Bacaan mengikut riwayat Warsy dari Imam Nafi' adalah banyak diamalkan di negara Afrika.

  3. Bacaan mengikut riwayat Qalun dari Imam Nafi' adalah banyak diamalkan di negara Asia Tengah.

  4. Bacaan mengikut riwayat al-Duri dari Imam Abu Amru al-Basri adalah banyak diamalkan di Sudan.


Penulisan Al-Quran (Ilmu Rasm)

Ilmu Rasm ialah satu ilmu yang membincangkan cara menulis lafaz-lafaz atau ucapan untuk memelihara pengucapan huruf-hurufnya dari segi lafaz, huruf-huruf asal dan ilmu yang membahaskan kaedah menambah, mengurang, menyambung, memisah dan menggantikan huruf.

Penulisan (rasm) al-Quran ini adalah satu sunnah Rasulullah s.a.w. yang diikuti secara ijma' (sepakat) oleh seluruh ulama mujtahidin kerana tulisan ini adalah berbentuk tauqifiyyah dan ia dibuat di bawah pengawasan Nabi Muhammad s.a.w.

Pembahagian Rasm

Rasm al-Quran terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
i. Rasm Qiasi/Imla'i.

Iaitu penulisan menurut kelaziman pengucapan/ pertuturan.
ii. Rasm Istilahi/ Uthmani.

Iaitu penulisan menurut kaedah tertentu yang mana ia tidak sama dengan penulisan biasa dari segi sebutan disebabkan ia menggunakan beberapa kaedah seperti membuang, menambah, mengganti, menyambung atau memisahkan huruf dan penulisan Hamzah.

Kebanyakan mushaf ditulis mengikut kaedah-kaedah ini. Oleh itu, penulisan mushaf Uthmani ini diakui sebagai penulisan yang bersifat tauqifiyyah (penetapan/penentuan Nabi), maka penggunaan tulisan Imla'i atau Qiasi tidaklah diharuskan.

Disusun Oleh : Ustaz Md Abdu Bin Sahak
B.A (Hons) Al Quran & Qiraat
Universiti Al Azhar Mesir.

Sumber rujukan boleh dicapai melalui menu Pautan.

Artikel: Sejarah Pembukuan Al-Quran >

No comments:

Post a Comment