Search This Blog

Artikel Pilihan

Jom Hafal dan Amal Doa Masuk Pasar... 💞

Alhamdulillah.. Dalam Sunnah Rasulullah Saw ada Kejayaan.. Baginda Rasulullah Saw telah ajar banyak doa kepada kita agar kita sentiasa ingat...

Inilah Tahiyibah

Friday, January 17, 2014

Dari Amir Ibnu Sharahil Shabi Shab Hamdan dan disampaikan dari Fatimah binti Qais dan Fatimah mendengar hadis ini terus dari Rasulullah SAW. Hadis ini sangat panjang dan izinkan saya untuk meringkaskan hadis ini dalam bentuk cerita. Pada suatu hari, selepas menunai solat fardhu, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar dan berkata kepada semua para sahabat baginda yang berada di dalam masjid itu. 

"Aku akan memberitahu kalian tentang apa yang pernah aku katakan dahulu, telah diberi kepastian oleh seorang pemuda". 

Baginda SAW menceritakan tentang pengalaman seorang Nasrani bernama Tamim ad-Dari yang baru memeluk Islam dan berbaiah kepada Baginda SAW. Cerita yang disampaikan oleh Tamim ad-dari sangat bertepatan dengan apa yang dikisahkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat sebelum ini.

Pada suatu ketika, Tamim ad-Dari bersama 40 orang sahabat dari kaum Lakhm dan Juzdam mengharungi lautan dan dilambung ribut badai dan gelora. Setelah dilambung badai selama 1 bulan, mereka akhirnya bertemu dengan sebuah pulau misteri yang berada di tengah-tengah lautan dan mereka berlabuh di pulau itu dengan menaiki perahu kecil. (Sheikh Imran Hosein berpendapat bahawa pulau tersebut adalah Britain dan laut yang dilayari oleh mereka adalah Laut Mediterranean bukannya Laut Merah kerana berdasarkan tempoh yang panjang untuk menjumpai daratan)

Setibanya mereka sampai di pulau tersebut, mereka sangat terkejut apabila didatangi oleh seekor binatang yang tebal bulunya. Sehingga mereka tidak dapat membezakan yang mana satu bahagian belakang dan depan binatang itu.

“Apakah kamu ini?” tanya mereka kepada binatang itu.

“Akulah pengintip rahsia (iaitu Jassasah)”, jawab binatang berbulu lebat itu. (Jassasah ialah apa yang kita anggap selama ini sebagai Bigfoot)

“Pengintip apa?” mereka bertanya lagi.

“Tak usahlah kamu bertanya lagi. Pergilah kamu temui seorang lelaki yang berada di dalam biara (monastri) kerana ia sangat merindukan berita dari kamu”, jawab binatang itu lagi.

Mereka pun pergilah ke biara itu. Apabila mereka sampai di dalamnya, mereka menjumpai sebesar-besar manusia yang dirantai dengan kuat. Kedua tangannya dibelenggu di lehernya. Kaki dan lututnya diikat dengan besi hingga buku lalinya.

“Makhluk apakah kamu ini?” tanya mereka kepada makhluk itu.

“Sebenarnya kamu telah melihat keadaanku. Kamu pula siapa?” tanya makhluk itu kembali.

“Kami adalah bangsa Arab. Kami belayar di laut yang bergelora lalu kapal kami dipukul ombak selama sebulan dan akhirnya kami terdampar di pulaumu ini”, jawab mereka.

Setelah mendengar penjelasan mereka, makhluk berantai itupun bertanya, “Cuba ceritakan kepadaku tentang kurma di Baisan. Adakah ia masih berbuah?”, tanya makhluk itu.

“Ya! Ia masih berbuah.” jawab mereka.

“Sesungguhnya hampir ia tidak berbuah lagi. Bagaimana pula tentang Tasik Thabariayah (Sea of Galilee)? Apakah ia masih ada air?” tanya makhluk itu lagi.

“Airnya masih banyak.” jawab mereka.

Lalu dia berkata “Sesungguhnya tidak lama lagi ia akan kering”. 

Kemudian dia bertanya lagi, 

“Bagaimana pula dengan mata air Zughar? Apakah masih ada airnya dan apakah penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka?” 

“Ya! Airnya masih banyak dan penduduk di sekelilingnya masih menggunakan mata air itu untuk tanaman mereka”, jawab mereka.

Kemudian dia bertanya lagi, 

“Bagaimanakah dengan nabi ummiyin (yakni Nabi Muhammad SAW)? Apakah yang dikerjakannya? Dan apakah orang-orang Arab memeranginya? Dia dilahirkan di Mekah dan telah berhijrah ke Yathrib (Madinah)"

Ya, mereka memeranginya” jawab mereka.

“Seterusnya bagaimana perlakuannya terhadap mereka?” tanya makhluk itu berkenaan Rasulullah.

“Dia telah banyak memperolehi kemenangan terhadap mereka, bahkan hampir semua orang Arab yang ada di sekelilingnya telah mengikutinya” mereka menjawab.

“Sungguhkah itu yang terjadi?”, tanya makhluk itu untuk mendapatkan kepastian.

“Ya! Sesungguhnya itulah yang terjadi”, jawab mereka dengan yakin.

Lalu makhluk itu berkata,

“Kalau mereka mengikutinya, maka itulah yang terbaik. Maka sekarang ini aku ingin memberi tahu kepadamu siapakah sebenarnya aku. Akulah Al Masih Ad Dajjal. Rasanya sudah hampir diizinkan aku untuk keluar. Bila aku keluar nanti aku akan berjalan ke serata permukaan bumi sehinggakan tiada sebuah kampung pun yang terkecuali. Aku akan berada selama 40 hari kecuali Makkah dan Tahibah (Madinah). Kedua kota ini diharamkan ke atasku. Aku dihalang oleh Malaikat dengan pedang yang terhunus. Mereka mengawal kedua-dua kota itu daripadaku dan sesungguhnya pada setiap Malaikat yang menjaganya”, terang makhluk yang bernama AL MASIH AD DAJJAL itu.

Rasulullah SAW menghentak tongkatnya seraya berkata,

“Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah!! Inilah Tahiyibah yakni Madinah. Bukankah aku telah sampaikan berita ini kepada kamu semua?”

“Benar, wahai Rasulullah!”, para sahabat menjawab.

[Hadis Riwayat Muslim]

Menurut hadis riwayat Imam Muslim, bahawa Dajjal itu sudah wujud sejak beberapa lama iaitu diciptakan bersamaan diciptanya Nabi Adam a.s. Ia dirantai di sebuah pulau dan ditemani oleh seekor binatang yang bernama 'Al-Jassasah' yang membawa maksud 'pengintip'. Terdapat hadis panjang mengenainya. Daripada Hadis ini jelaslah bagi kita bahawa Dajjal itu telah ada dan ia menunggu masa yang diizinkan oleh Allah SWT untuk keluar dari alam Samawat menjelajah permukaan bumi ini dan tempat “transitnya” itu ialah di sebelah Timur bukan di Barat. Ada pendapat Dajjal akan muncul di Iran kota Isfahan iaitu dari arah Khurosan.

No comments:

Post a Comment